Sunday, July 26, 2009

Manusia Boleh Berubah ; Beri peluang dan berdoalah

Awal perkahwinan : Anak berusia 7 dan 5 tahun.
Kereta menyusuri jalan keluar dari taman perumahan yang kami duduki.
Kakak : Ummi... boleh tak ummi belikan kakak mainan yang kakak suka tu.
Ummi : Emm.....
Kakak : Kawan-kawan kakak semua dah ada , .... kakak tengok.... jer.
Abang : Hah! Abang nak mainan macam Aiman.
Kakak : Boleh tak ummi belikan..... kalau murah!
Ummi : Nantilah... Ummi dapat gaji nanti ummi belikan..
Kakak : Alah..... kalau ummi dapat gajipun ummi tak belikan....( nada kecewa )
Abang : Iye... Ummi dapat gaji, ummi beli barang ummi dulu.

( Ummi memandang Abi......sedikit terkejut dan kesal )
Kereta terus laju meluncuri jalan Beranang Kajang.

Ummi : Mana ada.... Ummikan sayang anak-anak. Kakak dan abang sayang ummi , tak?
: Sayang!
Kakak dan abang menjawab serentak.
Ummi : Ha.... banyak mana?
Abang : Sepuluh!
Kakak : Kakak lagi banyak! Kakak sayang ummi... ratus-ratus.
Abang : Abang lagi banyak! Abang sayang ummi... ratus-ratus ribu kali.
Kakak : Kakak.... ratus-ratus ribu juta..... kakak sayang ummi lagi banyak daripada abang. Kakak sayang ummi sampai habis nombor.!
( Kakak tidak mahu mengalah )
Ummi : Dah, dah, dah. Dah nak sampai. Kejap lagi Abi belanja kita makan.

April tahun 2002
Abi : Eh! Langsir bilik ni .... yang barukan?
Ummi : Aa...... Ni hadiah hari lahir ummi untuk diri sendiri. ( Senyum)

November 2005.
Abi : Ummi ..... Set cadar baru?
Ummi : Hadiah Anniversary. Jahit sendiri... Kain remmnent kat Kamdar Kajang.. Murah jer.
Cantik tak?
Abi : ( Angguk. sambil tersenyum berlalu )

April 2008. Lampeter, United Kingdom.
Ummi : Abi balik dari Malaysia nanti boleh tak beli hadiah harijadi untuk ummi.
Abi : Bila ?
Ummi : 15 April.
Abi : Nak apa?
Ummi : Minyak wangi yang baunya lembut dan abi suka.
( Belum menjadi budaya dalam keluarga kami memberi hadiah harijadi kecuali setelah anak-anak besar)

Mothers day 2009
Sekeping kad ummi terima dari anak-anak. Hati ummi kembang berbunga.
Didalamnya tertulis, HAPPY MOTHERS DAY, Please feel free to ask us to help you with anything....... But please don't over do it.
ENJOY YOUR DAY.
Ummi tersenyum sendiri.... at last. Emm... anak-anak.

April 2009.
Anak-anak menolong Abi memesin rumput di hadapan rumah. Ummi sibuk menyiapkan minum petang untuk keluarga. Sesekali ummi menjenguk keluar .
Ummi : Eh kotak apa pulak kat depan pintu masuk ni.... ( Ummi bersuara perlahan sambil mencari-cari maklumat untuk dibaca)
Di depan kotak besar tertulis nama ummi dan alamat rumah. Ummi memandang abi dari jauh. Abi tersenyum. Cepat tangan ummi membuka pembalut kotak. Kenwood. Chef Premier. 1000w 4.6 litre. Terima kasih abi.... hati ummi berkata. Tersenyum.

Kakak : Apa tu ummi? Oooo... hadiah birthday dari abi ya? Ummi suka tak? (Kakak sedikit menggesa)
Ummi tersenyum lagi.


Renungan
" Dari waktu ke waktu yang lain terbuka peluang."

Kata mutiara
"Tanamkanlah dalam setiap detikmu benih-benih tasbih, dalam setiap minitmu fikiran-fikiran yang positif dan dalam setiap jammu sebuah karya yang bernilai amal."

Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Di dalam hidup kita, terkadang kita merasa kecewa tetapi ingatlah bahawa Allah bersama kita. Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Berdoalah tanpa jemu. Setiap apa yang Allah berikan kepada kita mengandung hikmah tersendiri. Allahlah yang lebih tahu. Dia yang menjadikan kita, Dia yang memiliki kita dan Dialah yang lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Bersabar dan berdoa adalah jalan terbaik.
Di dalam hidup kita, di dalam hubungan sesama manusia, lupakan apa yang telah kita beri tetapi ingatlah apa yang telah kita terima lalu bersyukurlah. Semoga Allah mengurniakan kita hati yang tenang dan tenteram. Ameen.

Salam persaudaraan buatmu teman
Terima kasih di atas segalanya.

ummi
selaut kasih... meniti tirai harapan

Friday, July 17, 2009

PUISI - Salam kepada malas

Sampaikan salam kepada malas
usah menyerang sesiapa
kerana negara sedang giat
berkempen produktiviti

Sampaikan salam kepada malas
usah menggigit sesiapa
kerana kesan lukanya
doktor pakarpun cuma membiarkan saja

Sampaikan salam kepada malas
usah menggoda sesiapa
kerana rakyat seluruh negara
sedang mengubah sikap


Di petik dari Segala Kasih Amin Minhad


Renungan

Ya Allah, curahkanlah kepada kami rahmat dari sisiMu
( Al Quran 3:8 )


Monday, July 13, 2009

cerita ukhuwwah 1

Suasana lengang hari minggu di bumi subur UTM tidak sedikitpun memberi kesan di hati ummi. Mungkin pelajar keluar ke Johor Baru untuk menghiburkan hati, mungkin juga makan-makan di pekan skudai. Atau mungkin nyenyak tidur setelah penat menelaah pada malamnya.Ummi tidak peduli itu semua. Dari jauh panggilan Lembah Damai begitu jelas kedengaran di telinga ummi.
Ummi mempercepatkan langkah. Tidak sabar rasanya ingin bertemu dengan sahabat yang amat dekat dengan hatinya. Ummi tidak meminta apa-apa. Ummi yakin janji Allah. Ummi gembira.
dalam satu hadis, Rasuilullah bersabda
"Allah telah mengutuskan malaikat kepada seorang lelaki semasa dalam perjalanan untuk menziarahi saudaranya kerana Allah. Lalu malaikat bertanya" Nak ke mana?" Dijawab, "Aku mahu menziarahi saudaraku........" Tanya malaikat lagi, " Untuk apa?" Lelaki itu menjawab, "Tiada apa-apa tujuan." Ditanya lagi, Apa hubungan dengan kamu?" Lalu dijawab oleh laki-laki tu, " Tiada apa-apa hubungan." Di tanya lagi " Apa budinya kepada kamu?" Dijawab, "Tiada apa-apapun". Di tanya lagi" Apa tujuannya". Lelaki itu menjawab, " Aku mencintainya kerana Allah." Berkata malaikat, : sesungguhnya Allah telah mengutusku kepadamu untuk memberitahu bahawa kerana kecintaanmu kepadanya maka Allah telah mengizinkan kamu memasuki syurgaNya. Hadis riwayat Muslim.

Kedatanganku disambut girang oleh Zue. Kami makan bersama. Nasi putih berlaukkan ikan goreng dan kuah masak lemak begitu enak pada tekakku.
Wajah Zue ku pandang puas-puas. Tidak berapa lama lagi zue akan menamatkan pengajiannya. Meninggalkan aku bersama beberapa orang lagi sahabat seperjuangan. "Ummi, saya habiskan nasi" suara Zue memecah kesunyian sambil matanya memandangku dengan pandangan nakalnya . Seperti selalu.
Belum sempat ummi cuba membaca fikiran sahabatnya, cepat tangan Zue belum berbasuh disapunya ke mukaku. Ya Allah.... tidak dapat aku berkata-kata lagi. Hatiku sayang padanya. Tidak sedikit baktinya pada Islam yang kami cintai. Hendak membalas, tak sampai hatiku.
"Pegi basuh... pegi basuh..." gesanya. "Sabun". Cepat pula sabun disuakan kepadaku. Sabun ku capai dan kaki ku angkat longlai.
Di bilik, ku lihat Zue tiada di biliknya. Punggung ku labuhkan ke katil asrama. Tiba-tiba saja Zue terjengul di muka pintu dengan senyum nakalnya. Zue menghampiriku. " Baru wangi." katanya seraya mencium pipiku. Tersenyum.
Zue memandang dalam ke mataku. Ada kata yang tidak terucap. Diam.
"Maaf Ummi, Zue nak peristiwa ni Ummi ingat lama. Entah bila pula kita akan berjumpa semula. Terima kasih di atas segalanya."Sejurus Zue menyanyikan untukku lagu Selasihku sayang.

Selasihku sayang.

Ku tanam selasih,
Ku tanamkan di hujung halaman,
Mengenangkan kasih
Wahai sayang yang aku tinggalkan.

Ku siram selasih
Ku siramkan dihujung halaman,
Mengenangkan kasih
Aduh sayang lambang percintaan.

Hai kencana dewi
Kasih yang ku rindu, ku kenang selalu
Moga takkan layu
Cinta yang sejati, kekal dan abadi

Hai kencana dewi
Kau tetap ku kenang, janganlah kau bimbang
Sayang
Kau tetap kan pulang di sisiku sayang
Membawa harapan.

Sehingga sekarang , setelah 17 tahun berlalu, terasa seperti baru semalam ia berlaku.

Wahai sahabat, semoga dirimu sentiasa berada dalam lindungan Allah. Moga terus kuat meneruskan langkah demi Islam yang kita cintai.



RENUNGAN

Firman Allah
Ataukah belum diberitakan kepadanya apa yang ada di dalam lembaran2 (kitab suci yang diturunkan kepada) Musa? Dan (lembaran2) Ibrahim yang selalu menyempurnakan janji? (Iaitu) seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain, Dan bahawa manusia hanya memperoleh apa yang di usahakannya, Dan sesungguhnya usahanya itu kelak akan diperlihatkan (kepadanya) Kemudian akan di beri balasan kepadanya dengan balasan yang paling sempurna, Dan sesungguhnya kepada Tuhanmulahkesudahan (segala sesuatu).Dan sesungguhnya Dialah yang menjadikan manusia tertawa dan menangis, Dan sesungguhnya Dialah yang mematikan dan menghidupkan,
Surah An-Najm ; Ayat 36 - 44.

Ya Allah, Ya Rahman Ya Rahim, Ampunilah dosa-dosaku Ya Allah, dosa yang aku sedari dan tidak aku sedari ya Allah. Berilah aku kekuatan untuk terus melangkah Ya Allah, Berikan jua kekuatan kepada sahabat2ku serta juga mereka yang mencintaimu. Perjalanan ini tidak mudah bagi kami Ya Allah. Aku dahagakan kasihmu Ya Allah, Jangan sekali-kali engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri Ya Rahman, walau kadar sekelip mata atau kadar masa yang lebih pendek dari itu. Perkenankan Ya Allah , Ya Rahman, Ya Rahim.

Saturday, July 11, 2009

Cinta ini

Entah mengapa hati ummi begitu berkecamuk. Keliru. Ummipun semakin tidak mengenali hati sendiri.
Tika ini secangkir kopi mahupun biskut tenaga tidak akan mampu lagi memberi secebis kegembiraan kepada hati ummi.
Ummi resah.... mencari-cari hatinya yang hilang. Mengingat sebaris kata yang pernah bersemadi dihatinya 'Kecintaan kepadaMu, Kebahagiaan di hatiku' ummi kian sayu.
Siapapun tidak dapat membantu kini, ummi perlu mencari semula cintanya yang hilang. Cinta itu hilang bukan kerna salah sesiapa, tetapi kerna sikap ummi sendiri yang tidak ambil peduli. Ummi akur..... cinta ini lebih dulu singgah dihati ummi ..... sebelum ummi merasai nikmatnya kopi bersama biskut tenaga.
Cinta ini suatu ketika dulu pernah menjadi penghibur lara ummi, pengubat luka ummi, cinta ini juga menjadi peniup semangat ummi, lebih penting lagi, cinta ini memberi kemanisan kepada jalan hidup ummi.
........ dan tiba-tiba saja hujan air mata ummi selebat heavy rain di musim summer.

Ya Allah ...... jangan engkau jauhkan hatiku dari cintaMu.

Nekad

Ummi semakin nekad. Cinta itu perlu diraih kembali. Cinta yang satu ini menjadikan ummi amat berbahagia. Bahagia dengan cintaNya. Bahagia juga dengan setiap anugerahNya. Daripada cinta ini jugalah ummi belajar mencintai dan dicintai, memesrai dan dimesrai.
Cinta ini sememangnya amat bererti dalam lipatan sejarah hidup ummi. Tanpa cinta ini ummi tidak mungkin tulus dalam cinta.

Ya Allah..... Ya Rahman....... Ya Rahim.
Permudahkanlah urusanku. Bantulah akan daku Ya Allah. Tiada padaku daya dan kekuatan, melainkan daya dan kekuatanMu Ya Rahman. Jangan Ya Allah.... jangan engkau biarkan nasibku ditentukan oleh diriku sendiri...walau kadar sekelip mata atau kadar masa yang lebih pendek dari itu.

Dekatkanlah hatiku denganMu ya Allah..... hampirkan hatiku dengan keluargaku keranaMu ya Allah. Tautkanlah ikatan kasih sayang antara kami serta juga dengan hati-hati yang mencintaiMu.....YaRahman.
Ameen.











Terkadang biskut tenaga inilah menjadi pendorong untuk ummi terus berusaha meraih kasih sayangNya.





Renungan

Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.
Quran 94: 6

Ada kasih sayang Allah swt dalam kesulitan yang membentang.Ibarat kerdipan mata dalam sekejap terbentang kumudahanNya. Dekatkanlah hatimu pada sumber kekuatan, nescaya dirimu akan kuat.


ummi.
selaut kasih. meniti tirai harapan